SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Ugama Anak-Anak Polis Diraja Brunei ini ditubuhkan kerana keramaian anak-anak pasukan polis ramai bersekolah ugama di sekitar sekolah di kawasan Gadong yang melibatkan ibubapa/penjaga murid susah menghantar dan mengambil anak-anak mereka, maka dengan ini untuk memberi kemudahan dan tidak menjejaskan pekerjaan mereka, pihak Jabatan Polis yang diwakili oleh Dato Haji Abdul Rahman bin Hamid pada masa itu Timbalan Pesuruhjaya Polis dengan pihak Jabatan Pengajian Islam yang diwakili oleh Pengarah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam iaitu Dato Seri Setia Haji Kassim bin Haji Lamat telah membuat perundingan dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah sekolah ugama di dalam kawasan Jabatan Pasukan Polis Diraja Brunei, Gadong. Iaitu bekas bangunan pusat latihan polis.
Maka dengan itu tertubuhlah Sekolah Ugama Anak-Anak Pasukan Polis Diraja Brunei. Sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Hazair bin Haji Abdullah (Sekarang dikenali sebagai Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Hazair bin Haji Abdullah) Timbalan Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam pada hari Khamis 20 Zulhijjah 1420H bersamaan 27 Mac 2000M jam 2.00 petang.
Pada peringkat awalnya sekolah ini menerima murid-murid pada 7 Zulhijjah 1420H bersamaan dengan 13 Mac 2000M dengan keramaian murid sebanyak 67 Orang sesi pagi dan sebanyak 256 Orang sesi petang dari darjah Pra hingga darja VI. Keramaian guru pada waktu itu seramai 4 Orang sesi pagi dan 6 Orang sesi petang. Murid-murid tersebut adalah dari Sekolah Ugama Beribi, Sekolah Ugama Tungku dan Sekolah Ugama Kg. Mata-Mata Gadong.