Sabtu, 1 Oktober 2011

MAJLIS KHATAM AL-QURAN 1432/2011

Sabtu, 1 Oktober. - Murid-murid yang menuntut dalam Darjah Enam sesi pagi dan petang di Sekolah Ugama Anak-Anak Pasukan Polis Diraja Brunei petang tadi diraikan di Majlis Khatam Al-Qur'an.
Seramai 31 murid terdiri dari 11 murid sesi pagi dan 20 murid sesi petang dikhatamkan di majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis, Gadong.
Tetamu Kehormat, SAC Haji Majid bin Haji Awang Damit,  
Pengarah Pentadbiran Am dan Kewangan
Pasukan Polis Diraja Brunei
Atur cara majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Tetamu Kehormat, SAC Haji Majid bin Haji Awang Damit, Pengarah Pentadbiran Am dan Kewangan Pasukan Polis Diraja Brunei, diikuti dengan bacaan surah-surah oleh para peserta khatam serta bacaan takhtim daripada penuntut-penuntut Darjah IV dan V Sekolah Ugama Anak-Anak Polis Diraja Brunei.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat serta merenjis wangian oleh jemputan-jemputan khas dan IbuBapa peserta-peserta khatam.

Penuntut-Penuntut Darjah VI Sekolah Ugama Anak-Anak Pasukan Polis Diraja Brunei ketika diraikan di Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis
Majlis Khatam Al-Qur'an diadakan bertujuan untuk memberi galakan dan motivasi kepada penuntut-penuntut agar mereka terus mempraktik bacaan Al-Qur'an sebagai amalan harian seperti yang dituntut oleh agama Islam, kerana majlis yang diadakan pada hari ini bukanlah tanda noktah atau masa untuk berhenti membaca Al-Qur'an kerana siapa yang membaca Al-Qur'an sehingga khatam berkali-kali itu adalah lebih baik dan besar ganjaran pahalanya dari Allah Subhanahu Wata'ala.